Sunday, May 31, 2009

United Dalam Usaha Bawa Masuk Frank Ribery

Franck Ribery celebrates his goal
Pengurus Besar Bayern Munich, Uli Hoeness mendedahkan Manchester United telah membuat tawaran untuk membeli pemain tengah Perancis, Frank Ribery. Tawaran ini dilihat sebagai persediaan United andainya Cristiano Ronaldo berhijrah ke Real Madrid. Ronaldo ketika ditanya wartawan tentang spekulasi perpindahannya ke Bernabeu selepas United tumpas kepada Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara Juara enggan memberi sebarang komen. Walaupun sebelum ini bintang antarabangsa Portugal itu menyatakan dia selesa di Old Trafford namun kekalahan kepada Barca pasti membuatkannya mempertimbangkan semula kedudukannya bersama skuad Red Devils musim depan. Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo, United melihat Ribery sebagai taruhan terbaik untuk menggantikan CR7. Walau bagaimanapun semua akhirnya akan bergantung kepada Ronaldo sendiri. Sebelum ini khabar angin bertiup kencang tentang tawaran United kepada Bayern untuk mendapatkan Ribery namun disanggahkan oleh pengurusan di Old Trafford.

Hoeness sendiri tidak mendedahkan butiran terperinci tentang tawaran yang dibuat oleh United namun menegaskan perbincangan tidak akan diadakan jika harga untuk mendapatkan Ribery di bawah 34 juta pound. Sebarang kemungkinan juga bakal berlaku jika mengambil kira situasi politik di Real Madrid menjelang pemilihan presiden kelab gergasi Sepanyol itu. Jika Florentino Perez menang jawatan itu maka pastinya Zinedine Zidane akan dilantik sebagai Pengarah Sukan dan Ribery mungkin menjadi pilihan utama Madrid berbanding Ronaldo yang mempunyai tanda harga lebih tinggi. Sementara itu pihak pengurusan Bayern telah menafikan Chelsea ada membuat tawaran untuk mendapatkan Ribery. Perkara itu dinyatakan oleh pegawai media Bayern, Marcus Horwick yang menegaskan bahawa Ribery tidak akan dijual. Rumor perpindahan bintang antarabangsa Perancis ini nampaknya tidak akan reda dalam waktu terdekat memandangkan minat yang tinggi ditunjukkan oleh kelab-kelab gergasi Eropah terhadapnya.

No comments:

Post a Comment