Sunday, May 31, 2009

Ronaldo Bakal Tinggalkan Old Trafford?

Footballers: Ronaldo sinks to the floor
Rumor perpindahan Cristiano Ronaldo ke Santiago Bernabeu tampak semakin hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Ronaldo seolah-olah telah memberi isyarat jelas untuk meninggalkan Old Trafford musim depan sebaik saja pasukannya tewas kepada Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara Juara Khamis lalu. Kegagalan United mempertahankan trofi Liga Juara Juara menguatkan lagi keinginan Ronaldo untuk berhijrah ke Madrid dan memberikan ruang buat Florentino Perez yang dalam usahanya menduduki kerusi presiden memancing Ronaldo berpindah ke skuad Los Galacticos. Khabar angin juga bertiup kencang betapa hubungan antara Ferguson dan Ronaldo kini memasuki fasa perang dingin apabila bintangnya itu secara terbuka menyatakan kepada media bahawa strategi yang digunakan Ferguson punca utama United tewas kepada Barca.

Ronaldo dalam wawancaranya dengan akhbar The Sun, enggan membicarakan tentang perkembangan kelabnya sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada skuad kebangsaan Portugal dalam kempen kelayakan Piala Dunia zon Eropah. Ditanya tentang masa depannya bersama United, Ronaldo enggan memikirkan perkara itu. Spekulasi ini jelas menggembirakan Real Madrid yang memang menaruh minat untuk mendapatkan tandatangan Ronaldo sejak musim lalu dan dengan tawaran yang tepat tidak mustahil Santiago Bernabeu akan menjadi destinasi Ronaldo musim depan. Perez dilaporkan bersedia menawarkan kepada United sebanyak 80 juta Pound untuk membawa Ronaldo keluar dari Old Trafford dan cukup optimis akan berjaya mendapatkan khidmat pemain sayap itu. Beliau juga melabelkan usaha mendapatkan Ronaldo sebagai projek mega buat Madrid dan meneruskan tradisi Perez yang berjaya mengumpulkan bintang-bintang besar sehingga skuad itu digelar Los Galacticos.

No comments:

Post a Comment